Istifadah di Sebalik Peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W.

Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam seluruhnya kerana ia merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun Hijrah. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan hikmah terhadap perkembangan Islam. Peristiwa ini juga telah menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah S.A.W. Antaranya keberanian Saidina Ali R.A yang sanggup menggantikan Rasullullah S.A.W di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah S.A.W. Kesanggupan Saidina Ali itu adalah bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah S.A.W.  dan menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah S.A.W. dan Islam.

        Pengorbanan Saidina Ali R.A. ini merupakan secebis daripada peristiwa pengorbanan para sahabat. Begitulah para sahabat Nabi S.A.W yang cinta mereka bukan sekadar bermain di bibir malah dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.

        Berbicara tentang Hijrah Rasul S.A.W. sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah S.W.T. kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.

        Saban tahun kita meraikan sambutan ‘Maal Hijrah’, namun tidak ramai yang menyedari hikmah di sebalik peristiwa hijrah ini. Ramai umat Islam yang memahami makna hijrah tidak lebih dari sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemahaman yang cetek ini menyebabkan hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah gagal dihayati.

Dari sudut bahasa:- Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain.
Dari sudut istilah :- Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah. (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hijrah bermaksud meninggalkan larangan Allah S.W.T. dan Rasul S.A.W.

        Pengertian di atas  dapatlah kita fahami bahawa hijrah bukanlah sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata tetapi hijrah juga ialah perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

        Hijrah Rasulullah S.A.W memberi iktibar kepada kita mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam yang tidak terhenti setakat ibadat khusus semata-mata. Lebih luas daripada itu ialah peranan kita sebagai khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini. Tugas sebagai khalifah pula adalah untuk menjaga agama dan mentadbir dunia. Menjaga agama bermaksud menunaikan segala tuntutan dan meninggalkan segala larangan Allah S.W.T. Manakala mentadbir dunia pula bermaksud melaksanakan amanah dengan menunaikan tanggungjawab menguruskan dunia berkaitan dengan segala makhluk, biarpun makhluk itu dari kalangan manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan mengikut ketetapan atau hukum Allah S.W.T.

        Dua perkara ini tidak mampu direalisasikan tanpa semangat jihad dalam diri kita. Jihad merupakan pengorbanan dari pelbagai aspek demi memastikan tertegaknya Islam, Iman dan Ihsan di muka bumi ini. Melawan nafsu juga merupakan suatu jihad.  
       
Namun, dewasa ini, semangat jihad sudah kian hilang di hati umat Islam. Umat Islam hari ini lebih mementingkan nafsu daripada kecintaan kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

        Malah ada dikalangan umat Islam yang berkelahi sesama sendiri kerana mengejar pangkat, harta dan wanita. Perkara seperti ini kerap berlaku sama ada golongan itu mempunyai pendidikan agama ataupun sebaliknya. Sekiranya inilah perangai kita sebagai seorang yang mengaku menganut agama Islam, beriman dengan Allah SWT dan beriman dengan Rasul S.A.W.,  tentulah tidak layak kita mengakui diri sebagai khalifah Allah di muka bumi.

        Sesungguhnya hijrah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah S.W.T.  Tiada makna kita menyambut  Maal Hijrah jika perlakuan kita semakin jauh dengan akhlak Islam. Apakah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan barat, malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.

        Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kepada kita komitmen Rasul S.A.W. sebagai seorang pemimpin dalam memastikan tertegaknya ummah yang beriman, bertaqwa, bersatu padu dan hormat menghormati, baik sesama mereka mahu pun orang bukan muslim. Inilah sikap yang perlu ada dalam diri seorang khalifah di atas muka bumi ini.

        Seorang khalifah tidak sekadar membangunkan dirinya, keluarganya, masyarakatnya atau negaranya dari sudut fizikal dan material semata-mata bahkan turut membangunkan dirinya, keluarganya, masyarakatnya atau negaranya dengan mendekatkan mereka kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya di sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi iktibar dan pengajaran yang dapat kita perolehi.

        Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan. Penghijrahan juga perlu dilakukan secara istiqamah. Rasulullah S.A.W.  pernah bersabda bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang hari ini lebih baik dari semalam. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjadi mereka yang beruntung.



Hijrahlah Wahai Muslimin...



1.  NIAT. Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas mengharapkeredhaan Allah. Perubahan diri yang dimulai dengan niat pasti mendapat pertolongan Allah. Sekiranya hijrah dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk pasti mengundang kemarahan Allah dan tidak kekal lama kebaikannya.

2.  TETAPKAN MATLAMAT.  Matlamat yang disasarkan harus realistik dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Mulakan dengan usaha yang mudah. Contohnya anda cuba konsisten mengikuti kuliah agama di surau D.P.P., di dewan kuliah   dan masjid U.U.M.

 3.  BUANG PERSEPSI YANG SALAH.  Anda mungkin mempunyai persepsi bahawa hanya golongan yang baik-baik sahaja yang dapat kemanisan iman. Segala tanggapan negatif bahawa anda tidak layak untuk berubah harus dibuang jauh-jauh. Ambil sehelai kertas dan tuliskan apakah keinginan anda. Catatkan juga apa yang ingin diubah, lantas sebutkan sebarang perubahan positif tersebut berkali-kali agar membentuk suatu persepsi yang baik. Buang segala persepsi hanya insan terpilih sahaja yang boleh menemui jalan pulang.

4.   DEKATILAH TOKOH-TOKOH DAN AHLI AGAMA. Dekatilah mereka yang sentiasa  memberikan motivasi dan nasihat. Ambillah pengajaran daripada kisah -kisah kesedaran. Ia penting untuk anda mengorak langkah mencerna hijrah diri. Hadirilah ceramah motivasi pengkisahan insan-insan yang berjaya mengubah diri ke arah kebaikan.

5.   PEDULIKAN APA KATA ORANG. Untuk berhijrah memang memerlukan pengorbanan. Pasti ada yang dugaan dan cabaran. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang iri hati dengan perubahan positif anda. Kita mungkin hanya diumpat demi untuk hijrah diri, tetapi Rasul S.A.W. pernah dibaling batu dan disakiti oleh golongan kafir. Jadikanlah segalanya sebagai suatu pendorong untuk terus beristiqamah dalam perjuangan mengubah sikap.

6.   BERDOALAH. Allah telah berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina." (Al-Mu’min 40: 60)  Berdoalah untuk pilihan yang terbaik dan mengharap pertolongan daripada Allah. Tiada kuasa lain yang mampu untuk membantu keinginan diri untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan melainkan Allah S.W.T.



Wassalam
Unit Penerbitan Dan Dakwah
Pusat Islam UUM.