Lelaki Yang Hebat

Lelaki Yang Hebat


Seorang lelaki telah berumahtangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan. Kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, dia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anaknya.

Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan takziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata: "Semoga tidak ada sesiapa pun dari kamu yang mengucapkan takziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kataku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..

Si suami meneruskan kata-katanya: "Demi Allah yang tiada Allah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.

Maha Suci Allah, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana dia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi SAW.

"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."
Sebelum meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata: "Wahai Allah, Aku sesungguhnya redha kepadanya, maka redhailah dia."

Kulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku.

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat kugambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang kurasakan ini.

Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan takziah kepadaku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redha kepadanya.. Semoga Allah menerima isteriku dengan keredhaan-Nya. "

MasyaAllah.. .alangkah bahagianya mendapat keredhaan suami seperti ini. Adakah anda mampu lakukan seperti yang dilakukan sang isteri terhadap suaminya sehingga pemergiannya diredhai dan membahagiakan suaminya.

Istifadah di Sebalik Peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W.

Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam seluruhnya kerana ia merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun Hijrah. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan hikmah terhadap perkembangan Islam. Peristiwa ini juga telah menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah S.A.W. Antaranya keberanian Saidina Ali R.A yang sanggup menggantikan Rasullullah S.A.W di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah S.A.W. Kesanggupan Saidina Ali itu adalah bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah S.A.W.  dan menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah S.A.W. dan Islam.

        Pengorbanan Saidina Ali R.A. ini merupakan secebis daripada peristiwa pengorbanan para sahabat. Begitulah para sahabat Nabi S.A.W yang cinta mereka bukan sekadar bermain di bibir malah dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.

        Berbicara tentang Hijrah Rasul S.A.W. sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah S.W.T. kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.

        Saban tahun kita meraikan sambutan ‘Maal Hijrah’, namun tidak ramai yang menyedari hikmah di sebalik peristiwa hijrah ini. Ramai umat Islam yang memahami makna hijrah tidak lebih dari sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemahaman yang cetek ini menyebabkan hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah gagal dihayati.

Dari sudut bahasa:- Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain.
Dari sudut istilah :- Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah. (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hijrah bermaksud meninggalkan larangan Allah S.W.T. dan Rasul S.A.W.

        Pengertian di atas  dapatlah kita fahami bahawa hijrah bukanlah sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata tetapi hijrah juga ialah perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

        Hijrah Rasulullah S.A.W memberi iktibar kepada kita mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam yang tidak terhenti setakat ibadat khusus semata-mata. Lebih luas daripada itu ialah peranan kita sebagai khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini. Tugas sebagai khalifah pula adalah untuk menjaga agama dan mentadbir dunia. Menjaga agama bermaksud menunaikan segala tuntutan dan meninggalkan segala larangan Allah S.W.T. Manakala mentadbir dunia pula bermaksud melaksanakan amanah dengan menunaikan tanggungjawab menguruskan dunia berkaitan dengan segala makhluk, biarpun makhluk itu dari kalangan manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan mengikut ketetapan atau hukum Allah S.W.T.

        Dua perkara ini tidak mampu direalisasikan tanpa semangat jihad dalam diri kita. Jihad merupakan pengorbanan dari pelbagai aspek demi memastikan tertegaknya Islam, Iman dan Ihsan di muka bumi ini. Melawan nafsu juga merupakan suatu jihad.  
       
Namun, dewasa ini, semangat jihad sudah kian hilang di hati umat Islam. Umat Islam hari ini lebih mementingkan nafsu daripada kecintaan kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

        Malah ada dikalangan umat Islam yang berkelahi sesama sendiri kerana mengejar pangkat, harta dan wanita. Perkara seperti ini kerap berlaku sama ada golongan itu mempunyai pendidikan agama ataupun sebaliknya. Sekiranya inilah perangai kita sebagai seorang yang mengaku menganut agama Islam, beriman dengan Allah SWT dan beriman dengan Rasul S.A.W.,  tentulah tidak layak kita mengakui diri sebagai khalifah Allah di muka bumi.

        Sesungguhnya hijrah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah S.W.T.  Tiada makna kita menyambut  Maal Hijrah jika perlakuan kita semakin jauh dengan akhlak Islam. Apakah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan barat, malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.

        Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kepada kita komitmen Rasul S.A.W. sebagai seorang pemimpin dalam memastikan tertegaknya ummah yang beriman, bertaqwa, bersatu padu dan hormat menghormati, baik sesama mereka mahu pun orang bukan muslim. Inilah sikap yang perlu ada dalam diri seorang khalifah di atas muka bumi ini.

        Seorang khalifah tidak sekadar membangunkan dirinya, keluarganya, masyarakatnya atau negaranya dari sudut fizikal dan material semata-mata bahkan turut membangunkan dirinya, keluarganya, masyarakatnya atau negaranya dengan mendekatkan mereka kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya di sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi iktibar dan pengajaran yang dapat kita perolehi.

        Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan. Penghijrahan juga perlu dilakukan secara istiqamah. Rasulullah S.A.W.  pernah bersabda bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang hari ini lebih baik dari semalam. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjadi mereka yang beruntung.



Hijrahlah Wahai Muslimin...



1.  NIAT. Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas mengharapkeredhaan Allah. Perubahan diri yang dimulai dengan niat pasti mendapat pertolongan Allah. Sekiranya hijrah dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk pasti mengundang kemarahan Allah dan tidak kekal lama kebaikannya.

2.  TETAPKAN MATLAMAT.  Matlamat yang disasarkan harus realistik dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Mulakan dengan usaha yang mudah. Contohnya anda cuba konsisten mengikuti kuliah agama di surau D.P.P., di dewan kuliah   dan masjid U.U.M.

 3.  BUANG PERSEPSI YANG SALAH.  Anda mungkin mempunyai persepsi bahawa hanya golongan yang baik-baik sahaja yang dapat kemanisan iman. Segala tanggapan negatif bahawa anda tidak layak untuk berubah harus dibuang jauh-jauh. Ambil sehelai kertas dan tuliskan apakah keinginan anda. Catatkan juga apa yang ingin diubah, lantas sebutkan sebarang perubahan positif tersebut berkali-kali agar membentuk suatu persepsi yang baik. Buang segala persepsi hanya insan terpilih sahaja yang boleh menemui jalan pulang.

4.   DEKATILAH TOKOH-TOKOH DAN AHLI AGAMA. Dekatilah mereka yang sentiasa  memberikan motivasi dan nasihat. Ambillah pengajaran daripada kisah -kisah kesedaran. Ia penting untuk anda mengorak langkah mencerna hijrah diri. Hadirilah ceramah motivasi pengkisahan insan-insan yang berjaya mengubah diri ke arah kebaikan.

5.   PEDULIKAN APA KATA ORANG. Untuk berhijrah memang memerlukan pengorbanan. Pasti ada yang dugaan dan cabaran. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang iri hati dengan perubahan positif anda. Kita mungkin hanya diumpat demi untuk hijrah diri, tetapi Rasul S.A.W. pernah dibaling batu dan disakiti oleh golongan kafir. Jadikanlah segalanya sebagai suatu pendorong untuk terus beristiqamah dalam perjuangan mengubah sikap.

6.   BERDOALAH. Allah telah berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina." (Al-Mu’min 40: 60)  Berdoalah untuk pilihan yang terbaik dan mengharap pertolongan daripada Allah. Tiada kuasa lain yang mampu untuk membantu keinginan diri untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan melainkan Allah S.W.T.



Wassalam
Unit Penerbitan Dan Dakwah
Pusat Islam UUM.

Alam kehidupan berumahtangga seharusnya memang menjadi impian setiap pasangan didunia ini yang menginginkan hidup bersama pasangan yang dicintai hingga ke akhir hayatnya. Disamping dikurniakan zuriat-zuriat yang baik.


Namun dalam mewujudkan suasana yang penuh dengan ketenangan, kehangatan, harmonis, belas kasihan, sayang menyanyangi, perihatin dalam segala hal rumahtangga merupakan sesuatu perkara yang penting kerana ia akan dapat menawan hati pasangan masing-masing.

Suami yang bertaqwa kepada Allah akan menganggap mahligai yang dibina merupakan satu ibadah kepada Allah s.w.t.

Seperti contoh suami isteri haruslah memelihara bahtera kasih-sayang dengan cara saling pesan memesan antara satu sama lain demi menjamin keuntuhan rumahtangga yang bahagia. Sebagai suami isteri yang sah takala usia hubungan tersebut sudah mengjangkau puluhan tahun maka janganlah lupa untuk kita terus membajainya selalu sewaktu diawal perkahwinan dahulu..

Suami isteri perlu bertolong bantu...

Bagi isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa ada ketika waktunya mereka tidak menang tangan dalam menguruskan hal anak-anak dan ada antara mereka terlepas pandang dalam menjalankan tanggungjawabnya mereka terhadap suami. Sehinggakan segelintir para suami merasakan diri mereka tidak diperlukan lagi belaian dari seorang isteri. Malah lebih malang lagi jika isteri bukan sahaja tiada masa untuk suami malahan tiada masa juga untuk menguruskan diri sendiri.

Bagi sudut isteri yang berkerjaya pula selalu mengharapkan makan, minum, pakaian suami segalanya diserahkan kepada pembantu rumah. Walhal itu semua adalah tanggungjawab isteri.

Berikut antara perkara-perkara yang tidak disukai oleh suami:-

Apabila suami melihat keadaan isterinya yang tidak kemas, serta comot.

Takkala suami pulang dari pejabat keadaan dalam rumah itu sendiri bersepah, tidak kemas, teratur. Segala kelengkapan suami seperti stoking, seluar tidak diletakkan ketempat asalnya.

Tiada insan yang sudi menyambut suami takala ia pulang dari tempat kerja dengan dihidangkan segelas air kegemarannya. Disamping membawa barang-barang yang dipegang oleh suami seperti beg, kunci kereta dan sebagainya.

Isteri masih belum pulang dari rumah/lewat, sedangkan suami sudah berada di rumah.

Isteri tidak pernah mengeluarkan atau mengucapkan perkataan ‘sayang’ memuji suami seperti ‘cantiklah abang pakai baju ni’.’pandailah abang pilih kain ni’.

Berleter berlebihan kerana kebanyakan suami tidak suka melihat isterinya berkeadaan sebegitu lebih-lebih lagi suami yang baru pulang dari kerja. Sebaiknya lemparkanlah sebaris senyuman sambil menghidangkan makanan yang istimewa buatnya.

Isteri tidak berusaha malah jarang sekali menyentuh tangan suaminya apatah lagi memegang dan mengurut suami sedangkan sentuhan akan menyemarakkan lagi hubungan suami dan isteri.

Menceritakan keburukan suami kepada orang lain, jiran, kawan-kawan mahupun ahli keluarganya yang lain. Ini kerana segala hal dalam rumahtangga anda adalah hak peribadi anda dan suami sahaja.

Memarahi anak-anak depan suami lebih-lebih lagi pada anak yang suami sayang. Jika perlu tergurlah dengan nada perlahan dan baik.

Tidak rajin memasak. Rajinlah masak untuk suami walau sesibuk manapun kerana kebanyakan suami sukakan air tangan isterinya.

Semoga sebahagian ilmu yang dihuraikan diatas ini sedikit sebanyak dapatlah membantu para isteri dan diri saya sendiri dalam membentuk, memperbaiki diri demi sebuah rumahtangga yang berkekalan..

Bantulah suami takala dia menghadapai sebarang kesukaran, kesusahan terutama dari segi keewangan atau kesihatan. Kerana keperihatianan seorang isteri akan meyakinkan para suami bahawa walauapa keadaan sekalipun isteri tetap berdiri teguh dibelakang suaminya

* Mohon ditegur atau dikomen oleh ustaz-ustaz atau yang arif sekiranya saya salah memberikan info

Amirullah

~ Ilmu hak bersama.. ~

Pemimpin

PEMIMPIN

Kita semua tidak lepas daripada menjadi seorang pemimpin, maka pesanan Rasulullah SAW adalah untuk kita semua mengikut peringkat masing-masing. (pent.)

taat perintah Allah

Bersabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah meredhai kamu dalam tiga perkara: Hendaklah kamu menyembah Allah swt dan tidak mensyirikkannya dengan sesuatu, hendaklah kamu berpegang teguh pada tali Allah swt (agamanya) dan jangan berpecah belah dan hendaklah kamu sekelian saling nasihat menasihati dengan orang yang diangkat Allah swt untuk memegang perkaramu (memimpinmu)

(hadis Riwayat Imam Ahmad)

Firman Allah swt dalam Surah Al Nisa ayat 58-59 yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukuman di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan keadilan . Sesungguhnya Allah swt memberi pengajaran sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah swt maha mendengar lagi maha melihat.(58)

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah swt, taatlah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu hal, maka kembalilah kepada Allah swt dan Rasulnya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah swt dan hari Akhirat , yang demikian itu lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya.(59)

Ajaran Ayat 58:

1. Dikhaskan kepada waliyyul Amri (pemerintah)

2. Pemerintah hendaklah menetapkan hukum dengan adil

3. Pemerintah hendaklah memberikan amanat kepada rakyatnya

amanah di dalam kewangan

Ajaran Ayat 59 :

1. Ditujukan kepada Rakyat wajib taat kepada pemerintah.

2. Kewajipan taat gugur apabila pemerintah menggalakkan rakyat melakukan maksiat dan tidak berlaku adil.

3. Apabila berlaku perselisihan maka pemerintah hendaklah kembali kepada hukum Allah swt iaitu Al quran dan al sunnah.

4. Rakyat dan pemerintah hendaklah tolong menolong dalam perkara kebaikan, ketakwaan dan jangan tolong menolong dalam perkara berdosa dan permusuhan.

MEMILIH PEMIMPIN

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang mengangkat sesorang (pemimpin) untuk mengurusi perkara kaum muslimin, lalu mengangkat orang tersebut, sementara dia mendapati ada orang yang lebih layak dan sesuai daripada orang yang diangkatnya, maka dia telah berkhianat kepada Allah swt dan rasulnya.


HAKIM

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

Hakim itu ada tiga, dua antaranya di Neraka dan satu akan masuk Syurga. Maka seseorang (hakim) yang mengetahui kebenaran, kemudian memutuskan perkara dengan yang sebaliknya, maka dia di Neraka. Seseorang yang memutuskan perkara dikalangan manusia dengan kebodohannya, maka di di Neraka. Dan seseorang mengetahui kebenaran dan memutuskan perkara dengan kebenaran tadi, maka dialah satu-satunya hakim yang tunggal di syurga.

(riwayat semua Ahli Sunan)

DIPETIK DARI KITAB SIASAH SYARIYAH

IMAM IBNU TAIMIYAH

* Mohon ditegur atau dikomen oleh ustaz-ustaz atau yang arif sekiranya saya salah memberikan info

Amirullah

~ Ilmu hak bersama.. ~

Solat Tahajud (Pengenalan)


4 Muharram 1431H

Email : M Fadzil B Harun Al-Rashid

Solat 5 waktu adalah solat bagi orang-orang mukmin dan solat Tahajud pula adalah solat untuk orang-orang soleh. menurut satu hadith;

Rasulullah SAW bersabda;

“Jika tidak kerana memberatkan umatKu, nescaya aku wajibkan Tahajud ke atas mereka”"

Kelebihan Tahajud;

Jika dilakukan solat Tahajud ini dengan cara istiqamaha maka Allah s.w.t akan memberi 3 ganjaran;

1. 1. Dapat lidah yang hikmah

2. 2. Diangkat kedarjat wali

3. 3. Lepas dari kesakitan ketika sakaratul maut

Selain itu juga;

1. * Doa-doa akan diperkenankan

2. * 2 rakaat tahajud lebih baik dari dunia dan seisinya

3. * Allah akan menunjukkan mahligai disyurga semasa sakaratul maut mendapat lampu atau cahaya dalam kubur

4. * Dapat naik kuda emas bagi suami isteri yang saling membangunkan antara satu sama lain untuk tahajud

5. * Jika kita selalu panggil orang ke masjid maka diwaktu malam Allah akan panggil kita untuk tahajud

6. * Mendekatkan kita dengan Allah dan menjauhkan kita daripada membuat dosa

Solat Tahajud (Sejarah)

Dari segi sejarahnya, sembahyang tahajud mula disyariatkan tidak lama selepas Nabi s.a.w mendapat wahyu pertama di gua Hira’. Ia dinyatakan Allah dalam surah ai-Muzammil (yang berselimut), yang diturunkan ketika Nabi s.a.w menggeletar di dalam selimut selepas baginda s.a.w mendapat wahyu pertama itu.

Menurut Penolong Pengarah Kajian Fatwa Jabatan Agama islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Abdul Aziz Che Kob, “Pada awalnya, sembahyang sunat tahajud hukumnya fardhu kepada Nabi. Bagaimanapun, apabila turun ayat ke-20 surah yang sama (kira-kira setahun selepas turunnya ayat pertama) Allah menjelaskan bahawa sembahyang Tahajud adalah sunat dan afdalnya ditunaikan pada sepertiga malam”. Walaupun hukumnya adalah sunat , namun bagi Nabi, bersembahyang tahajud tetap dianggap sebagai suatu kewajipan. “Ia menjadi rutin kepada hidup Nabi”, ujar beliau.

Mengenai rakaat, Abdul Aziz memberitahu, Nabi akan bersembahyang malam, termasuk tahajud, sekurang-kurangnya sebelas rakaat. Namun demikian tidak ada surah-surah tertentu yang ditetapkan supaya dibaca selepas al-Fatihah. “Selain membaca surah-surah panjang dalam al-Quran, hingga dihabiskan satu juzuk dalam satu rakaat, Nabi juga membaca surah lazim yang pendek.. Jadi para ulama sependapat lagi bahawa bagi memudahkan masyarakat menunaikan tahajud, kita boleh membaca surah-surah lazim”.

Dari segi sejarah juga diceritakan bahawa Nabi kerap bersembahyang malam hingga kakinya menggigil dan bengkak akibat terlalu lama berdiri. Bagi menjelaskan lagi keberkesanan sembahyang tahajud, Abdul Aziz membawa dua kejadian sebagai iktibar. Ia dengan jelas menunjukkan betapa pentingnya sembahyang tahajud dalam mendekatkan diri dengan Allah, membina kekuatan rohani dan keyakinan diri umat islam.

“Dalam satu peperangan, Kahalifah Umar r.a diselubungi tanda tanya kerana selepas seminggu bertempur dengan kaum musyrikin, tentera islm masih belum mendapat kemenangan. Perkara itu membinggungkannya kerana pada kebiasaannya tentera islam tidak perlu menunggu masa sebegitu lama untuk mengalahkan musuh. Malam itu, Kahalifah Umar melawat ke khemah-khemah tenteranya sedang kyusuk sembahyang tahajud, kecuali sebuah yang mana penghuninya sedang nyenyak tidur. pada keesokkan harinya kahlifah membuat keputusan yang amat mengejutkan. Beliau menyingkir semua penghuni khemah terbabit (yang tidak bersembahyang tahajud) daripada menyertai perang kerana katanya “mereka tidk mempuyai rohani yang kuat”. Akhirnya walaupun jumlah semakin berkurangan, tentera islam telah berjaya menumpaskan musuh”, kata Abdul Aziz.

Beliau juga memberitahu, salah satu faktor panglima islam terkenal, Sallehuddin al-ayubi berjaya menawan kembali Istanbul adalah kerana cuma mengambil panglima-panglima yang bersembahyang tahajud sahaja untuk mengemudi perang.”

Sembahyang Tahajud Membawa Kepada Limpahan Rezeki

Sembahyang tahajud iaitu sembahyang sunat dua rakaat, merupakan di antara pelbagai shalat sunat yang disyariatkan oleh Allah. Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah di antara sepertiga malam iaitu kira-kira dari pukul 2:30 pagi hingga menjelang subuh. “Kalau nak sembahyang sebelum tidur, iaitu selepas sembahyang isyak pun boleh, tapi lebih eloklah pada sepertiga malam kerana waktu itulah yang paling sesuai untuk seseorang itu membersihkan jiwa serta mendekatkan diri dengan Allah” kata Ustaz Muhd Shafie, setiausaha penasihat syariah sebuah syarikat makanan antarabangsa.

Sebagai seorang yang banyak membuat kajian berhubung shalat tahajud, Mohamad memberi penjelasan lanjut mengenai sembahyang itu ringkas tetapi padat. Beliau memberitahu, walaupun sembahyang tahajud dua rakaat sahaja, ia boleh ditunaikan lebih daripada itu mengikut kemampuan masing-masing. Bagaimanapun sebelum sembahyang tahajud, adalah lebih elok jika ia didahului dengan sembahyang sunat mutlak dua rakaat dan di akhiri dengan sembahyang sunat witir (jika tidak sempat menunaikannya sebelum tidur). Mengenai surah yang sepatutnya dibaca selepas al-fatihah, Mohamad memberitahu, tidak ada surah tertentu yang ditetapkan. “tapi biasannya kita baca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah al-ikhlas pada rakaat kedua. Surah al-Kafirun itu menurut Nabi fadilatnya mewakili 2/3 daripada al-Quran. Surah al-Ikhlas pula mewakili 1/2 al-Quran”.

Selain untuk meningkatkan keimanan, shalat tahajud disyariatkan Allah kerana ia mempuyai banyak hikmah dan keberkatannya. Allah menetapkan waktunya pada sepertiga malam kerana suasana ketika itu amat hening, paling sesuai untuk beribadah, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Perkaa itu kata Mohamad, ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Muzammil ayat 6 yang bermaksud; Sebenarnya sembahyang dan ibadah malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.

“Selepas shalat tahajud, mohonlah ampun kepada Allah”. kata Ustaz Mohamad sambil merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “Allah turun (kuasa/perintah) pada tiap-tiap malam langit dunia. wahai malaikat, kamu periksa semua makhluk-makhluk di muka bumi. Sesiapa yang bermohon kepadaKu (di sepertiga malam), maka makbulkan doanya. Sesiapa yang meminta kepada Aku, beri. Sesiapa yang meminta ampun kepada Aku, maka ampunkanlah ia”.

Kesempatan itulah ujarnya, yang perlu di raih oleh setiap muslim. “Jadi gunakan waktu itu untuk bertaubat, hampirkan diri dengan Allah supaya menjadi orang beriman. Orang yang selalu sembahyang malam, hatinya bersih, suci, hubungan dengan Allah cukup kuat, patuh perintah Allah dan dikasihi Allah.

Shalat tahajud mempunyai pelbagai hikmah dan fadilatnya. Fadilat itu, ujar Mohamad, antara lain djelaskan Allah dalam surah al-Israa’ ayat 79 bahawa orang yang bersembahyang tahajud akan dibangkitkanNya (di akhirat) di tempat yang terpuji. Ini dijelaskan lagi dalam hadis Rasullulah s.a.w yang bermaksud;

“Wahai manusia, bayakkanlah memberi salam, beri makan kepada orang susah, sembahyang di tengah malam di waktu orang lain sedang tidur, maka kamu masuk syurga. ”

Janji Allah itu cukup jelas kerana orang yang gemar menunaikan tahajud adalah orang yang cintakan Allah, bersih hatinya dan sentiasa memohon ampun kepada Allah untuk menyucikan dirinya daripada dosa. Mereka akan kembali kepada Allah dalam keadaan mulia dan dimasukkan ke syurga”, tegasnya.

Dengan tingkat keimanan yang tinggi, tambah Mohamad, orang-orang yang gemar bershalat tahajud akan mendapat satu lagi keistimewaan yang diingini oleh semua muslim iaitu diambil nyawanya dalam husnul khotimah (mati beriman). Kerana mereka orang-orang yang mulia, malaikat akan mengambil nyawa mereka dengan memberi salam dahulu. Kemudian barulah di ambil nyawanya di dalam keadaan dia tidak berasa sakit”, ujarnya. Demikian untungnya mereka yang gemar bersembahyang tahajud.

Selain dijanjikan syurga, kata Mohamad, orang yang gemar bersembahyang tahajud juga akan dianugerahi Allah dengan pelbagai rezeki seperti hati yang tenang, ilmu yang banyak, murah rezeki, harta terpelihara, kesihatan yang baik, anak-anak berjaya dalam kerjaya dan dihormati masyarakat. Tegas beliau, kerana besarnya fadilat sembahyang tahajud itulah Nabi s.a.w mengajak umatnya menunaikan ibadah tersebut pada setiap malam, tetapi jika tidak mampu, sekali seminggu, sekali sebulan, sekali setahun atau sekali seumur hidup.

Memandangkan besarnya fadilat sembahyang tahajud, tetapi sukarnya untuk menunaikan sembahyang tersebut, Mohamad memberikan ‘petua’ bagi membolehkan kita melakukannya iaitu;

* Tingkatkan keimanan. Ingatlah, sembahyang ini menjadi sesuatu yang berat melainkan bagi hati yang kyusuk. Untuk dapatkan hati yang kyusuk, perlulah dibina dahulu iman di dalam jiwa. Dan seperti satu rantai, orang yang beriman akan bertambah kuat iman serta keyakinan diri mereka apabila kerap bersembahyang tahajud

* Sebelum tidur, sematkan ke dalam fikiran kita untuk bangun pada sepertiga malam, pukul tiga pagi misalnya untuk sembahyang tahajud. Insyallah pada waktu yang dikehendaki itu kita akan terjaga

* Jadikannya ia suatu kebiasaan. Walau kita tidur lewat macam mana pun, buatlah amalan bangun pada waktu yang dikehendaki untuk sembahyang tahajud.

Helmi Salam bin Ab Ghani &  Norkhuzaimah binti Ismail



19 Mei 2007

Dedicate to our lovely baby.....





Adib Sidqi bin Helmi Salam





27 June 2008 (Friday) 6.45 am





Pusat Rawatan Mahsuri, Jitra, Kedah